BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, September 21, 2010

TEORI SKINNER - PELAZIMAN OPERAN

BURRHUS FREDERIC SKINNER (1904-1990)

B.F Skinner adalah seorang ahli psikologi Amerika Syarikat, pelopor dalam bidang kajian pelaziman operan, dan mendapat ijazah kedoktorannya (Ph.D) dalam bidang psikologi dari Universiti Harvard. Pada tahun 1938, beliau menerbitkan buku berjudul Behaviour of Organism yang terkandung huraian prinsip-prinsip utama pelaziman operan, berdasarkan kajian-kajian beliau yan telah dijalankan dalam tahun 1930-an. 



Beliau terkenal kerana kajian beliau ke atas tikus dengan menggunakan Kotak Skinner. Walaupun tikus jauh berbeza dengan manusia, namun Skinner telah mengandaikan bahawa segala konsep berkaitan dengan tingkah laku tikus boleh diaplikasi ke atas manusia. Justeru, tidak menghairankan apabila Skinner bercadang untuk membesarkan anaknya di dalam Kotak Skinner.





EKSPERIMEN SKINNER

Perbuatan menekan butang untuk memperoleh makanan disebut pelaziman operan. Pembelajaran melalui cara ini disebut pembelajaran melalui pelaziman. Eksperimen ini menunjukkan bahawa satu gerak balas hanya akan berulang jika wujud ganjaran. Contohnya, biji-biji makanan dalam eksperimen tersebut sebagai ganjaran. Sekiranya ganjaran dihentikan, gerak balas itu akan terhapus juga.


















Dalam eksperimen di atas, konsep peneguhan amat jelas sekali. Skinner juga menjelaskan bahawa sesuatu peneguhan boleh bersifat negatif atau positif. Contoh peneguhan positif adalah pujian, ganjaran, hadiah dan sebagainya. Pujian adalah penting kerana ia akan mendorong seseorang pelajar itu mengeluarkan hasil yang baik pada masa hadapan. Manakala peneguhan negatif pula tidak boleh disamakan dengan hukuman atau denda.























PENEGUHAN

Peneguhan ialah perkara yang dilakukan untuk mengalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Menurut Rachlin (1991), pengukuhan diberikan, pertamanya untuk memuaskan kehendak individu; keduanya, untuk mengurangkan tekanan dan merangsang otak. Skinner membahagikanpengukuhan kepada dua jenis, iaitu peneguhan positif dan peneguhannegatif.
Terdapat lima jenis proses dalam teori pelaziman operan Skinner, iaitu: pengukuhan positif, pengukuhan negatif, dendaan, prinsip Premack dan pelupusan.

                            i.        Pengukuhan Positif

Peneguhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan itu ditunjukkan, yang menyebabkan perlakuan itu diulangi atau diperkuatkan lagi. Dalam bilik darjah, peneguhan positif ini diberikan sebagai salah satu bentuk motivasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contoh-contoh peneguhan positif yang boleh diberikan dalam bilik darjah ialah seperti memberikan kata-kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja atau menjawab soalan, memberikan senyuman, menepuk bahu pelajar, memberi hadiah dan sebagainya. Jadual dibawah menunjukkan satu lagi contoh peneguhan positif.


Peneguhan Positif


Peneguhan positif yang diberikan oleh guru dapat mendorong pelajar menghasilkan kerja yang bermutu tinggi. Peneguhan yang diberi juga mestilah jelas dan bersistematik. Hanya tingkah laku yang spesifik sahaja yang perlu diberi peneguhan. Guru juga mestilah ikhlas ketika memberi peneguhan.

 Menurut Brophy (1981), ciri-ciri pujian (peneguhan positif) yang memberi kesan ialah:

(a) memuji secara ikhlas,
(b) memuji dengan cepat,
(c) memuji tanpa pilih kasih,
(d) memuji usaha dan cuba jaya,
(e) memuji tingkah laku yang spesifik
(f) memuji jawapan atau respons yang spontan.






                    i.        Peneguhan Negatif

Peneguhan  negatif ialah rangsangan serta merta yang tidak selesa atau menyakitkan yang diberikan selepas sesuatu tingkah laku ditunjukkan. Contohnya, seorang bapa memarahi anaknya kerana tidak membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru. Oleh kerana jemu dengan leteran bapanya, maka si anak tadi pun menyiapkan kerjasekolahnya. Tindakan anak (membuat kerja rumah) dapat mengelak daripada rangsangan yang tidak diingini (leteran bapa).  


Peneguhan Negatif









Peneguhan boleh dilaksanakan secara berterusan atau berkala. Jadual menunjukkan jadual peneguhan yang boleh digunakan untuk membentuk tingkah laku yang diingini. Jadual peneguhan ini meliputi peneguhan berterusan, peneguhan berkala tetap, peneguhan berkala berubah,peneguhan berkala nisbah tetap dan peneguhan berkala nisbah berubah.








DENDAAN

Dendaan adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. 







Dendaan




PRINSIP PREMACK

Konsep utama prinsip Premack ialah mengaitkan aktiviti yang kurang diminati dengan aktiviti yang lebih diminati untuk mengukuhkan tingkah laku terhadap aktiviti yang kurang diminati. Prinsip Premack juga dikenali sebagai “Grandma’s Rule” yang berasaskan kenyataan “kamu boleh keluar bermain selepas kamu habis memakan sayur-sayuran ini”.

Sebagai guru, kita boleh menyelang selikan aktiviti yang menarik dengan aktiviti yang kurang menarik dalam bilik darjah untuk meningkatkan kadar pembelajaran murid.  Contohnya, selepas mengakhiri mata pelajaran matematik, satu aktiviti bermain komputerakan diadakan.



PELUPUSAN

Pelupusan bermaksud perlakuan yang tidak diberi peneguhan akan lupus dengan sendirinya. Keadaan ini dapat di atasi jika:
·Peneguhan untuk sesuatu perlakuan itu dapat dikenal pasti.
·Peneguhan itu tidak lagi digunakan.
·Guru sanggup bersabar dalam menghadapi proses pelupusan, kerana hasilnya tidak datang dengan serta merta.



IMPLIKASI TEORI PELAZIMAN OPERAN SKINNER DALAM P&P
  • Kemahiran atau teknik yang baru dipelajari diberi peneguhan secara berterusan dan diikuti dengan secara berkala supaya dapat dikukuh dan dikekalkan
  • Peneguhan yang positif membawa keseronokan adalah lebih berkesan daripada peneguhan negatif yang membawa kesakitan
  • Prinsip penghapusan sesuai  untuk memodifikasikan tingkah laku pelajar yang tidak diingini.
  • Membantu pelajar menguasai konsep diskriminasi melalu proses pelaziman operan supaya mereka memperoleh ilmu dan kemahiran dengan tepat.
  • Menggunakan prinsip Jadual Peneguhan Skinner untuk merancang dan melaksanakan peneguhan berterusan dan berkala yang berpatutan bagi menjamin tingkah laku operan itu dapat dikukuh dan dikekalkan.
  • Kadangkala, peneguhan negatif sesuai untuk mendapatkan tingkah laku yang diingini. Misalnya, menarik balik pemberian waktu rehat jika pelajar tidak mematuhi peraturan atau displin bilik darjah.












1 comments:

Unknown said...

Saya ingin bertanya teori yang manakah sesuai untuk membentuk sesuatu tingkah laku